Apakah itu Pentas Budaya 2007?

Pentas Budaya 2007: Sulam. Selam. Silam.” merupakan sebuah persembahan pendedahan kesenian, yang disasarkan kepada masyarakat Melayu dan bukan Melayu, untuk membuka hati dan minda orang Singapura melalui tarian, muzik, lagu, sastera dan puisi. Acara ini dianjur oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS), dan disokong oleh Pergerakan Belia Persatuan Rakyat atau People’s Association Youth Movement (PAYM). Ia merupakan hasil karya daripada gemblengen tenaga bersama banyak perbadanan dan institusi pendidikan. Ia diadakan sempena perayaan Keharmonian Kaum. Matlamatnya adalah untuk memaparkan dan mendidik masyarakat Singapura tentang kepelbagaian dan keistimewaan seni, bahasa dan adat Melayu.

Seni, bahasa dan adat merupakan penggerak utama yang menggiat, membentuk dan membangun peradaban Melayu. Seorang seniman bukan sahaja seorang penghibur, malah dia menjadi duta bangsa, guru dan sahabat yang sering menasihati. Apabila beberapa kaum bertemu, begitu juga budaya mereka. Adakah garisan yang membezakan mereka tipis?

Menerusi pendedahan ini, kita akan menyelami warisan Melayu dan memahami bagaimana pelbagai ciri artistik seperti drama, tarian dan muzik telah disulamkan. Mari selami budaya Melayu dan menghayati kedinamikannya. Sementara itu, kita menerokai bagaimana budaya Melayu berubah mengikut peredaran zaman. Tema persembahan ini ialah “Sulam. Selam. Silam.” Sebanyak 8 kumpulan bakal mementaskan persembahan mereka yang mempunyai sulaman pelbagai ciri artistik seperti Drama, Tarian dan Muzik.

Sulam? Selam? Silam?

Sulam: 1. Menenun atau menjahit dua atau lebih cebisan kain untuk dijadikan satu. 2. Menghubungkaitkan sesuatu dengan rapat, bergaul atau bercampur.

Sulaman dan tenunan merupakan tradisi utama budaya Melayu. Dengan penuh teliti, para seniman Melayu menyulam dan menenun pelbagai corak ke atas kain, tikar, raga dan barang perhiasan. Semenjak permulaan peradaban Melayu, pelbagai budaya asing dari India, Indocina, Cina, Timur Tengah dan Eropah, serta pelbagai jenis agama seperti agama Hindu, Buddhisme, Taoisme, Nasrani dan Islam, telah bergaul dan disulamkan, lalu membentuk apa yang dikenali sekarang sebagai budaya Melayu. Persada seni Melayu di Singapura begitu juga. Pentas Budaya ingin menggalakkan para belia agar menjana gagasan yang kreatif untuk menghasilkan suatu persembahan yang baik.

Selam: 1. Mencecah ke bawah paras cecair, menjunam ke dalam cecair, membasahi secara keseluruhan. 2. Melibatkan diri, mendalami.

Seni menggunakan cecair untuk menghasilkan karya Batik memerlukan ketrampilan dan penelitian yang tinggi. Batik merupakan karya kain Melayu yang amat popular disebabkan warnanya yang kadang-kala terang dan corak-corak yang unik. Corak dan motif batik berbeza mengikut daerah dalam Nusantara. Sebelum membasahi kain dengan pewarna, para seniman batik akan melakar corak ke atas kain dengan menggunakan canting dan lilin. Dengan erti kata yang lain, ‘selam’ memberi gambaran orang merentasi dan mendalami lautan. Menurut sejarah, orang Melayu berilmu dan berpengalaman mengenai pergerakan angin dan ombak, serta perkapalan. Para nelayan dan orang laut juga menyelami lautan untuk mendapatkan makanan untuk keperluan seharian, dan juga sumber semula jadi seperti mutiara untuk perhiasan dan perdagangan. Pentas Budaya memberi para belia suatu kesempatan untuk menyelami kesenian Melayu dan juga, untuk melahirkan rasa cinta dan penghayatan ke atas budaya dan warisan Melayu di Singapura.

Silam: 1. Masa dahulu, purba kala, sejarah. 2. Warisan.

Menurut buku-buku sejarah mengenai peradaban Melayu, terdapat zaman kegemilangan dan zaman kemuraman. Peradaban Melayu pernah dikenali sebagai Golden Chersonese atau ‘Perkawasan Emas’, Savarnadvipa, Srivijaya, Majapahit, Kesultanan Melaka dan Aceh. Walaupun nama dan keperibadiannya berubah, beberapa nilai dan adapt Melayu tetap dilestarikan. Dengan ilmu pengetahuan mengenai angina dan lautan, orang Melayu berhijrah ke Kepulauan Pasifik, Sri Lanka, Madagascar, Afrika Selatan dan Suriname (Amerika Selatan). Di mana mereka pergi, mereka membawa dengan mereka nilai dan adat Melayu yang diwarisi dari tanahair. Sememangnya, matlamat utama Pentas Budaya ialah untuk menggalakkan para belia untuk meninjau kembali perkembangan pada zaman silam.

Para peserta dikehendaki mengupas “Sulam. Selam. Silam.” sambil mencerakin isu kontemporari atau hal-ehwal harian seperti pensejagatan, ibu bapa atau alam. Ini semua dilaksanakan menerusi persembahan mereka yang diharapkan mengandungi ciri-ciri tradisional dan kemodenan.
No posts.
No posts.